Pendidikan

Para sejarawan telah menukilkan di dalam kebanyakan kitab mengenai Imam Fakhr al-Din al- Razi yang merupakan seorang yang cintakan ilmu dan sentiasa dahagakan ilmu sehingga begitu banyak sekali bidang – bidang yang telah diceburi oleh beliau. Antara bidang yang telah diterokai oleh beliau ialah Bahasa Arab yang dikupaskan mengenai nahu, balaghah dan syair serta ilmu yang berkaitan dengan pemikiran seperti falsafah, ilmu kalam, mantik, usul fiqh, tafsir, sejarah, matematik, biologi, kimia, perubatan, ilmu firasat dan ilmu ramalan, akan tetapi Imam Fakhr al-Din al-Razi lebih dikenali di dalam bidang yang berkaitan dengan falsafah, usul fiqh, tafsir dan ilmu kalam.

Di mana seperti yang diketahui Imam Fakhr al-Din al-Razi memulakan pendidikan awalnya dengan ayahnya yang tercinta sebelum ayahnya menghembuskan nafas yang terakhir iaitu pada tahun 559 hijrah dan selepas kematian ayahnya beliau memasuki Institusi al-Kamali al-Sumnani untuk mempelajari ilmu dalam bidang feqah[15] dan setelah beberapa tahun belajar di institusi tersebut, Imam Fakhr al-Din al-Razi kembali ke tanah air semula untuk mempelajari ilmu usul dan falsafah dengan bergurukan Majdi al-Din al-Jaili dan seterusnya berpindah ke Muraghah untuk mendalami ilmu falsafah yang dibawa oleh Farabi dan Ibn Sina.

Pada tahun 570 hijrah, beliau dikatakan telah berhijrah ke negara berdekatan dengan Sungai Jihun, Bukhara dan Samarkhand untuk menyempurnakan lagi pengajiannya. Akan tetapi telah timbul fitnah ke atasnya dan menyebabkan beliau terpaksa meninggalkan tempat tersebut dan berhijrah ke India, di mana telah temaktub di dalam kitabnya iaitu al-Tafsir al-Kabir mengenai pengalamannya di India. Di dalam masa yang sama, Imam Fakhr al-Din al-Razi telah menyimpan hasrat untuk berhijrah ke Maghribi yang bertujuan untuk menemui Ibn Rusyd, akan tetapi terpaksa menangguhkan perjalanan beliau kerana mendengar khabar berita akan kematian Ibn Rusyd. Selepas beberapa tahun, beliau melunaskan hasrat di hati untuk berhijrah ke Maghribi dengan bertujuan untuk menghadiahkan hasil karyanya iaitu Asas al-Taqdis kepada raja yang memerintah ketika itu iaitu Sultan Saif ( pada zaman pemerintahan Ayubi ).

Daripada kisah pengembaraan mencari ilmu yang dilakukan oleh beliau, sudah tentu beliau mempelajari ilmu – ilmu tersebut dari tokoh – tokoh yang terkemuka sehingga beliau juga turut menjadi seorang tokoh yang disegani. Antara guru – guru yang dipelajari olehnya ialah ayahnya sendiri iaitu Diya’ al-Din Umar, Muhyi al-Sanah Abi Muhammad al-Baghwi, Majdi al-Din al-Jaili dan sebagainya. Oleh demikian itu, tidak hairanlah Imam Fakhr al-Din al-Razi juga mempunyai anak murid yang ramai iaitu lebih daripada 300 orang pelajar dan mereka akhirnya juga mengikuti jejak langkah beliau dalam menyumbangkan idea dan buah fikiran. Antara anak – anak murid beliau ialah Zain al-Din al-Kashi, Syahab al-Din al-Naisaburi, Muhd bin Ridwan, Syarf al-Din al-Harwi dan Syams al-Din al-Khuyubi.

Oleh demikian, dapatlah kita ketahui bahawa Imam Fakhr al-Din al-Razi merupakan seorang yang cintakan ilmu sehingga beliau sanggup merantau meninggalkan kampung halaman semata – mata bertujuan untuk mencari ilmu dari tokoh – tokoh yang hebat di dalam pelbagai bidang samada di dalam bidang bahasa mahupun yang berkaitan dengan pemikiran.