Integrasi Ilmu umum dan agama

Ilmu adalah maklumat yang diperolehi daripada fikiran yang tidak diketahui kepada sesuatu yang diketahui.Maka ilmu umum dan agama perlu ada hubungan yang akan membawa kepada tamadun yang lebih besar.

Siri 2

Dalam definisi dan pengenalan terhadap akal, ilmu mantik dan ilmu kalam serta perkaitan diantaranya, memuatkan serba sedikit tentang latar belakang salah seorang tokoh ilmuwan Islam yang dipilih di dalam kajian ini, di mana ia bertujuan untuk mengupas akan ketokohannya di dalam ilmu kalam. Tokoh yang di maksudkan itu ialah Imam Fakhr al-Din al-Razi. Umumnya, seperti yang kita ketahui nama sebenar Imam Fakhr al-Din al-Razi ialah Muhd Fakhr al-Din bin Dhiya’ al-Din ‘Umar bin al-Husin bin al-Hasan dan dilahirkan di daerah yang dikenali sebagai Rayy iaitu pada tahun 544 hijrah bersamaan dengan 1449 Masihi. (Dr. Muhd al-‘Aribi (ed)1993, 5) Para sejarawan telah mencatat pelbagai gelaran yang telah diberikan kepada beliau berdasarkan beberapa sumbangan yang telah beliau berikan. Di mana gelaran Imam Fakhr al-Din al-Razi adalah merupakan gelaran yang paling masyhur yang digunakan di kalangan para ilmuwan dan terdapat juga pendapat lain yang mengatakan bahawa gelaran al-Razi adalah dinisbahkan kepada tempat lahir beliau iaitu Rayy. (Muhd al-Mu’tasim Billah al-Baghdadi(ed),t.tkh , 13).

Perkara penting yang menjadi topik utama perbincangan kajian ilmiah ini ialah ketokohan Imam Fakhr al-Din al-Razi dalam ilmu kalam, di mana pengkaji mengupas satu persoalan yang membuktikan ketokohan beliau dalam ilmu kalam iaitu persoalan mengenai adakah Allah itu mengambil tempat dan berjisim sepertimana makhlukNya mengambil tempat, di samping membawa dalil – dalil naqli dan ‘aqli yang bertujuan untuk memperkukuhkan lagi hujah yang dibawa oleh beliau. Oleh demikian, penulis berharap apa yang dikupaskan itu dapat memberikan input yang bermakna dalam memperjuangkan syiar Islam di muka bumi ini.

Siri 1

PENGENALAN
Kemunculan ilmu kalam di dalam arena pemikiran Islam telah mencatat satu anjakan paradigma dalam arena keilmuan. Tumbuhnya ilmu kalam di kalangan ilmuwan Islam adalah disebabkan berlakunya kekacauan dalam pemahaman dan pemikiran akidah, di mana ia telah bercampur dengan falsafah dan mantik Yunani dalam merumuskan beberapa perkara yang menyentuh akidah Islam.( Mat Rofa Ismail 1997, 57). Ilmu kalam dapat didefinisikan sebagai satu ilmu yang membicarakan tentang wujud Tuhan ( Allah ), sifat – sifat yang sepatutnya ada padaNya, sifat – sifat yang mustahil bagiNya, sifat – sifat yang mungkin ada padaNya dan membicarakan tentang kerasulan dari sudut mengetahui sifat – sifat yang mesti ada padanya, sifat yang mustahil baginya dan sifat yang mungkin ada padanya. (Ahmad Hanafi 2001, 3).

Ibn Khaldun mendefinisikan ilmu kalam sebagai ilmu yang mempunyai alasan – alasan yang bertujuan untuk mempertahankan kepercayaan – kepercayaan keimanan dengan menggunakan dalil – dalil logik akal di samping terkandung di dalamnya perbangkangan terhadap pendapat golongan yang menyeleweng daripada akidah ahl al-Sunnah wa al-Jamaah (Ahmad Hanafi 2001, 3).


Oleh demikian, dapatlah kita memahami serba sedikit mengenai definisi ilmu kalam yang telah diberikan oleh beberapa tokoh ilmuwan Islam. Sejarah telah membuktikan bahawa ilmu kalam tidak muncul dengan drastiknya tetapi ia telah melalui beberapa fasa iaitu dimulai dengan proses di mana ilmu mantik dibawa masuk ke dalam perbendaharaan ilmu Islam ketika proses penterjemahan karya asing ke bahasa Arab, hal ini telah menimbulkan kegawatan dalam pemahaman mantik dan falsafah pada awal permulaan pemindahan ilmu tersebut. .( Mat Rofa Ismail 1997, 60-61). Disebabkan oleh demikian, munculnya ilmu kalam adalah untuk membahaskan tentang apa yang dikaitkan dengan akidah dan persoalan – persoalan mengenainya.