Siri 2

Dalam definisi dan pengenalan terhadap akal, ilmu mantik dan ilmu kalam serta perkaitan diantaranya, memuatkan serba sedikit tentang latar belakang salah seorang tokoh ilmuwan Islam yang dipilih di dalam kajian ini, di mana ia bertujuan untuk mengupas akan ketokohannya di dalam ilmu kalam. Tokoh yang di maksudkan itu ialah Imam Fakhr al-Din al-Razi. Umumnya, seperti yang kita ketahui nama sebenar Imam Fakhr al-Din al-Razi ialah Muhd Fakhr al-Din bin Dhiya’ al-Din ‘Umar bin al-Husin bin al-Hasan dan dilahirkan di daerah yang dikenali sebagai Rayy iaitu pada tahun 544 hijrah bersamaan dengan 1449 Masihi. (Dr. Muhd al-‘Aribi (ed)1993, 5) Para sejarawan telah mencatat pelbagai gelaran yang telah diberikan kepada beliau berdasarkan beberapa sumbangan yang telah beliau berikan. Di mana gelaran Imam Fakhr al-Din al-Razi adalah merupakan gelaran yang paling masyhur yang digunakan di kalangan para ilmuwan dan terdapat juga pendapat lain yang mengatakan bahawa gelaran al-Razi adalah dinisbahkan kepada tempat lahir beliau iaitu Rayy. (Muhd al-Mu’tasim Billah al-Baghdadi(ed),t.tkh , 13).

Perkara penting yang menjadi topik utama perbincangan kajian ilmiah ini ialah ketokohan Imam Fakhr al-Din al-Razi dalam ilmu kalam, di mana pengkaji mengupas satu persoalan yang membuktikan ketokohan beliau dalam ilmu kalam iaitu persoalan mengenai adakah Allah itu mengambil tempat dan berjisim sepertimana makhlukNya mengambil tempat, di samping membawa dalil – dalil naqli dan ‘aqli yang bertujuan untuk memperkukuhkan lagi hujah yang dibawa oleh beliau. Oleh demikian, penulis berharap apa yang dikupaskan itu dapat memberikan input yang bermakna dalam memperjuangkan syiar Islam di muka bumi ini.