Latarbelakang Imam al-Razi:

Umumnya dunia Islam telah melahirkan ramai tokoh yang hebat dan berkarisma di mata dunia di dalam pelbagai bidang samada di dalam bidang perubatan, pemikiran, teknologi dan sebagainya. Hasilnya, tokoh – tokoh tersebut
telah mendapat penghargaan dan pujian dari seluruh pelosok dunia di atas sumbangan yang telah mereka curahkan. Justeru itu, penulis ingin mengupas serba sedikit mengenai latar belakang salah seorang tokoh ilmuwan Islam yang hebat iaitu Imam Fakhr al-Din al-Razi.

Nama sebenar Imam Fakhr al-Din al-Razi yang diketahui di kalangan para ilmuwan ialah Muhd Fakhr al-Din bin Dhiya’ al-Din ‘Umar bin al-Husin bin al-Hasan dan beliau dilahirkan di daerah yang dikenali sebagai Rayy iaitu pada tahun 544 hijrah bersamaan dengan 1449 Masihi. Para sejarawan telah mencatatkan pelbagai gelaran yang telah diberikan kepada beliau berdasarkan beberapa sumbangan yang telah beliau berikan. Antaranya ialah Imam Fakhr al-Razi, Ibn al-Khatib, Fakhr al-Din al-Razi, Syeikh al-Islam dan Imam Fakhr al-Din al-Razi. Di mana gelaran Imam Fakhr al-Din al-Razi adalah merupakan gelaran yang paling masyhur yang digunakan di kalangan para ilmuwan dan terdapat juga pendapat lain yang mengatakan bahawa gelaran al-Razi adalah dinisbahkan kepada tempat lahir beliau iaitu Rayy. Oleh demikian, wujud beberapa kesamaran di kalangan para ilmuwan dalam menentukan tokoh yang dinisbahkan kepada tempat yang dikenali sebagai Rayy. Hal ini kerana terdapat beberapa tokoh Islam lain juga diberikan gelaran sebagai al-Razi,antaranya ialah :

i. Abu Bakr al-Razi merupakan salah seorang pakar dalam bidang feqah mazhab Hanafi, di mana beliau menetap di Baghdad dan merupakan seorang yang masyhur akan kezuhudan dan kewarakannya. Antara hasil karya beliau ialah kitab Ahkam al-Quran w-Syarh al-Asma’ al-Husna dan beliau kembali ke rahmatullah pada tahun 370 hijrah.

ii. Muhammad bin Zakaria al-Razi merupakan seorang doktor yang masyhur dan ahli falsafah. Beliau diberi gelaran al-Razi kerana beliau dilahirkan dan menetap di Rayy. Meninggal dunia pada tahun 311 hijrah.

iii. Abu al-Hasan Ahmad bin Faris bin Zakaria al-Razi, adalah merupakan salah seorang tokoh yang terkenal dalam bidang bahasa dan beliau telah kembali ke rahmatullah pada tahun 395 hijrah.