Abstrak


Dengan perkembangan dunia hari ini, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI) perlu mengambil inisiatif untuk kecemerlangan dalam akademik dan penyelidikan, keperluan kepada bahan pengajaran dan penyelidikan yang terkini adalah satu keutamaan.Dalam perkembangan ini, internet dilihat sebagai satu sumber bagi mendapatkan bahan-bahan untuk digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran. Ia juga dapat dijadikan sebagai sumber kepada maklumat-maklumat untuk menjalankan penyelidikan. Tidak dinafikan bahawa pensyarah-pensyarah di FKI UDM tidak ketinggalan dalam mengaplikasikan kemudahan internet ini dalam menjalankan tugas pengajaran dan pembelajaran. Populasi kajian ini terdiri daripada semua pensyarah Pengajian Islam FKI UDM seramai 41 orang daripada lapan program.. Kesemua responden menyatakan bahawa mereka pernah menggunakan internet untuk mencari bahan pengajaran. Peratusan perolehan bahan pengajaran dari internet adalah rendah; Ini disebabkan sebahagian besar teks pengajaran adalah daripada kitab-kitab yang telah sedia dicetak Dalam hal ini, bahan pengajaran daripada internet mungkin menjurus kepada maklumat dan isu-isu terkini berkaitan kursus yang diajar, nota-nota tambahan atau keratan-keratan akhbar yang berkenaan. Majoriti pensyarah pengajian Islam telah memanfaatkan kemudahan internet yang disediakan oleh pihak universiti untuk mendapatkan bahan pengajaran mereka.


PENGENALAN

Penggunaan internet merupakan suatu keperluan kepada dunia pendidikan masa kini. Melalui internet berbagai maklumat yang berkaitan dengan pendidikan dapat diperolehi dengan mudah. Maklumat-maklumat tersebut dapat membantu para pendidik dalam proses pengajaran di peringkat rendah dan pengajian tinggi.

Lambakan maklumat dalam pelbagai disiplin ilmu yang terdapat di dalam internet juga dapat membantu proses penyelidikan jika dapat dipastikan kesahihan maklumat tersebut. Oleh itu, setiap pensyarah perlu memanfaatkan kemudahan internet secara maksima dalam proses pengajaran dan penyelidikan mereka.

Dengan penguasaan internet akan memudahkan pensyarah melayarinya bagi mendapatkan bahan-bahan untuk digunakan dalam pengajaran dan juga menjalankan penyelidikan. Sebagai menyahut seruan UDM yang meggalakkan setiap pensyarah terlibat dengan penyelidikan, maka setiap pensyarah mestilah melengkapkan diri dengan pengetahuan tentang internet.

Dengan itu, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam disarankan mengambil inisiatif untuk memperkasakan kemahiran internet di kalangan warga pengajian Islam FKI supaya mereka tidak ketinggalan dalam era teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).